Perlembagaan SIRA

PERLEMBAGAAN
PERSATUAN IBAN REMUN SERIAN
(SIRA)
FASAL 1: NAMA
Nama Persatuan ini ialah Persatuan Iban Remun Serian, (SIRA) dan selepas ini disebut sebagai “Persatuan”.
FASAL 2: ALAMAT BERDAFTAR/POS.
(1) Alamat berdaftarnya ialah: Lot 560, Kampung Remun, 94700 Serian.
(2) Alamat posnya ialah: Lot 560, Kampung Remun, 94700 Serian.
(3) Alamat berdaftar/posnya tidak boleh diubah tanpa mendapat kebenarandaripada Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.
FASAL 3: LOGO PERSATUAN.
1. SIRA.
Perkataan SIRA adalah singkatan bagi Serian Iban Remun Association.
2. Pokok berwarna Hijau.
Pokok berwarna hijau pada logo ini adalah pokok ”kayu meremun” yangdinamakan oleh suku kaum Iban Remun dan itulah sejarah nama Kampung Remun. Sekumpulan penduduk yang tinggal dan memulakan hidup di situ dinamakan sebagai suku kaum Iban Remun sehingga ke hari ini.
3. Segi Tiga Berwarna Biru.
Di kaki gunung Remun inilah suku kaum Iban Remun mula bertapak dan gunung ini dijadikan sebagai simbol tapak permulaan suku kaum Iban Remun.
4. Riben Berwarna Maroon.
Riben berwarna maroon ini melambangkan kawasan tanah suku kaum Iban Remun yang mana merupakan sumber semula jadi untuk bercucuk tanam dan menyara hidup.
FASAL 4: TUJUAN-TUJUAN
Tujuan-Tujuan ialah seperti berikut:
(a) Mempertingkatkan dan menambahbaikan tahap pendidikan, kebudayaan dan sosio-ekonomi.
(b) Menanam semangat toleransi dan kerjasama di kalangan ahli-ahli dan masyarakat melalui kegiatan amal, kebudayaan dan sosial.
(c) Memainkan peranan dan memberi panduan perkhidmatan dan perlindungan kepada ahli-ahli yang dilanda krisis dan masalah semasa.
(d) Mengetengahkan peranan dan kebolehan ahli-ahli di dalam program pembangunan negara serta aktiviti-aktiviti lain selaras dengan tujuan penubuhan persatuan.
(e) Mengadakan kutipan wang dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar Pertubuhan dan pihak yang berkuasa.
FASAL 5: KEAHLIAN
Keahlian adalah terbuka kepada semua suku kaum Iban Remun merangkumi keluarga yang isteri atau suami adalah suku kaum Iban Remun yang berasal dari atau tinggal di kawasan Serian, Samarahan dan hendaklah berumur lapan belas (18) tahun ke atas.
FASAL 6: PERMOHONAN MENJADI AHLI
(1) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadang dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang hendaklah mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budi bicaranya, menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.
(2) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut diatas hendaklah, setelah membayar bayaran pendaftaran untuk menjadi ahli seperti yang ditentukan, diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia sebagai ahli.
FASAL 7: DAFTAR KEAHLIAN
Setiausaha hendaklah menyimpan Daftar Keahlian yang mengandungi butir-butir seperti berikut:
(1) Nombor Siri
(2) Tarikh menjadi ahli
(3) Nama penuh
(4) Tarikh dan tempat lahir
(5) Nombor kad pengenalan
(6) Kerakyatan
(7) Pekerjaan dan alamat majikan
(8) Alamat kediaman
(9) Nombor telefon
FASAL 8: BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN-BAYARAN LAIN.
(1) Bayaran masuk dan yuran yang hendak dibayar adalah seperti berikut;
Bayaran Masuk RM2.00
Yuran bulanan/Tahunan: RM2.00
(2) Yuran bulanan/tahunan hendaklah dibayar kepada Bendahari terlebih dahulu di dalam masa 14 (empat belas) hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.
(3) Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada 3 (tiga) bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh atau wakil Setiausaha, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dibayar.
(4) Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada jumlah yuran bagi 2 (dua) tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya, dengan syarat mereka berpuas hati yang ahli itu telah menerima kenyataan hutangnya terlebih dahulu.
(5) Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan bayaran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.
(6) Yuran-yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dijalankan dengan persetujuan Mesyuarat Agung ahli-ahli.
FASAL 9 KEBERHENTIAN
Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli hendaklah memberi kenyataan secara bertulis 2 (dua) minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan membayar segala hutangnya, jika ada.
FASAL 10 PEMECATAN
(1) Seseorang ahli pada pendapat Jawatankuasa tidak menurut sebarang peraturan atau melakukan kesalahan tatatertib yang boleh merosakkan nama baik Persatuan boleh diminta supaya berhenti daripada menjadi ahli pada bila-bila masa oleh Jawatankuasa.
(2) Seseorang ahli yang engkar berhenti daripada menjadi ahli sebagaimana yang diputuskan oleh Jawatankuasa di dalam mesyuaratnya boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela diri
(3) Seseorang ahli yang dipecat daripada menjadi ahli menurut fasal ini boleh merayu kepada Mesyuarat Agung atas pemecatannya siapa yang akan memberi keputusan yang muktamad.
(4) Permohonan daripada ahli yang dipecat untuk menjadi ahli semula boleh dipertimbangkan dengan syarat-syarat yang akan ditentukan oleh Jawatankuasa untuk keputusan Mesyuarat Agung.
FASAL 11 MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
(1) Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah diadakan secepat mungkin setelah setiap akhir tahun kewangan pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa, tetapi tidak lewat daripada 31 Mac.
(2) Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah seperti berikut;
(a) Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan kerja-kerja Persatuan di dalam tahun yang lalu.
(b) Menerima laporan Bendahari dan Penyata Kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu.
(c) Memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan melantik Juruaudit/Juruaudit-Juruaudit untuk tahun yang akan datang.
(d) Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.
(3) Pengumuman awal mengenai Mesyuarat Agung Tahunan yang menerangkan tarikh, waktu dan tempat, dan panggilan untuk memberi cadangan-cadangan yang hendak dibicarakan dan cadangan-cadangan untuk meminda undang-undang hendaklah dikirimkan oleh Setiausaha kepada tiap-tiap ahli tidak lewat daripada 30 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk bermesyuarat, dan pengumuman itu hendaklah ditunjukkan supaya jelas kelihatan di alamat berdaftar Persatuan.
(4) Cadangan-cadangan untuk dirundingkan di dalam mesyuarat hendaklah dihantar supaya sampai kepada Setiausaha tidak lewat 14 hari selepas penerimaan pengumuman mesyuarat.
(5) Setiausaha hendaklah menghantarkan kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum diadakan mesyuarat satu agenda termasuk satu salinan-salinan peringatan mesyuarat dan laporan-laporan cadangan beserta dengan Penyata Kira-Kira Persatuan bagi tahun yang lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini hendaklah senang diperolehi untuk dibaca oleh ahli-ahli dari alamat berdaftar Persatuan.
FASAL 12 KUORUM DAN PENANGGUHAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
(1) Sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah ahli-ahli yang layak mengundi atau dua kali ganda bilangan ahli-ahli Jawatankuasa, ikut mana yang kurang ramai bilangannya hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung Tahunan bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi kuorum untuk mesyuarat.
(2) Jika kuorum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada satu tarikh tidak lebih daripada 30 hari yang ditetapkan oleh Jawatankuasa, dan jika kuorum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa mengubah undang-undang Persatuan dan membuat keputusan-keputusan mengenai semua ahli.
FASAL 13 MESYUARAT AGUNG KHAS
(1) Mesyuarat Agung Khas boleh diadakan;
(a) Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa atau
(b) Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang daripada 20 orang ahli yang layak mengundi dengan menerangkan tujuan-tujuan dan sebab-sebab mengadakannya.
(2) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.
(3) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan kepada semua ahli oleh Setiausaha sekurang-kurangnya 15 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.
FASAL 14 KUORUM DAN PENANGGUHAN MESYUARAT AGUNG KHAS
Fasal 12 berkenaan kuorum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika kuorum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan, dan sekurang-kurangnya 6 bulan daripada tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.
FASAL 15 RANGKA PERINGATAN MESYUARAT
Setiausaha hendaklah menghantar kepada semua ahli salinan rangka peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung dengan seberapa segera setelah selesainya mesyuarat itu.
FASAL 16 JAWATANKUASA
(1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan pegawai-pegawai Persatuan hendaklah dilantik setahun sekali dalam Mesyuarat Agung Tahunan;
Seorang Pengerusi
Seorang Timbalan Pengerusi
Seorang Setiausaha
Seorang Penolong Setiausaha
Seorang Bendahari
Seorang Penolong Bendahari
6 orang Ahli Jawatankuasa Biasa
(2) Nama-nama untuk jawatan-jawatan yang di atas hendaklah dicadang dan disokong dan pemilihan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli yang layak mengundi didalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula.
(3) Setiap ahli jawatankuasa dan setiap pegawai yang menjalankan tugas-tugas pemerintah dalam Persatuan ini hendalah warganegaraMALAYSIA
.

FASAL 17 FUNGSI JAWATANKUASA
(1) Tugas Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan dengan tidak terkeluar dari dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung.Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh membuat tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah taat kepada keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah memberi laporannya berkenaan kegiatan-kegiatannya di dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.
(2) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam tempoh tiga bulan dan 3 hari pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli. Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang daripada tiga orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli-ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan kuorum mesyuarat.
(3) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.
(4) Jika terdapat kekosongan atau peletakan jawatan di dalam Jawatankuasa maka Jawatankuasa bolehlah memenuhkan kekosongan itu dengan melantik mana-mana ahli untuk mengisikannya sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.
(5) Jawatankuasa boleh melantik kakitangan-kakitangan yang bergaji atau difikirkan mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab yang difikirkan merosakkan nama baik Persatuan.
FASAL 18 TUGAS-TUGAS PEMEGANG-PEMEGANG JAWATAN
(1) Pengerusi dalam jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Agung dan semua Mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat-mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah menandatangani peringatan-peringatan mesyuarat bila telah diluluskan.
(2) Timbalan Pengerusi hendaklah menolong Pengerusi menjalankan tugas-tugasnya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Pengerusi.
(3) Setiausaha hendaklah menjalankan kerja-kerja Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah-perintah Mesyuarat Agung dan Mesyuarat Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab menguruskan hal-hal surat-menyurat dan menyimpan semua buku-buku dan kertas-kertas kecuali buku kira-kira dan buku-buku kewangan.
(4) Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.
(5) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjwab diatas kebetulannya.
(6) Penolong Bendahari hendaklah menolong Bendahari menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Bendahari.
(7) Ahli-ahli Jawatankuasa biasa lain hendaklah menjalankan tugas-tugas tertentu sebagaimana yang ditentukan oleh Jawatankuasa.
FASAL 19 TAHUN KEWANGAN
(1) Tahun kewangan Persatuan hendaklah bermula pada 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.
(2) Wang Persatuan boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan termasuklah pelaburan atau hasil daripada perniagaan yang diluluskan oleh Mesyuarat Agung, perbelanjaan pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan kakitangan yang bergaji tetapi walau bagaimanapun tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman Mahkamah atau dibahagikan sebagai bonus atau dividen kepada ahli-ahli.
(3) Bendahari dibolehkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada Lima Ratus ringgit (RM500.00) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan di dalam tempoh 7 hari ke dalamBANK
yang disetujui oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.

(4) Segala cek-cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Bendahari dan Setiausaha atau Pengerusi.
(5) Perbelanjaan yang lebih daripada RM2,000.00 bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa dan perbelanjaan yang lebih daripada RM5,000.00 bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran daripada Mesyuarat Agung.
(6) Penyata dari hal wang yang diterima dan dibelanjakan beserta timbangan kira-kira bagi setiap tahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Juruaudit/Juruaudit-Juruaudit mengikut Fasal 20, dengan seberapa segera setelah tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan yang berikutan, dan salinan-salinannya hendaklah boleh diperolehi untuk makluman ahli dari alamat berdaftar Persatuan.
FASAL 20 AUDIT
(1) Seorang atau lebih yang bukannya pemegang-pemegang jawatan Persatuan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Juruaudit/Juruaudit-Juruaudit. Ia/mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.
(2) Juruaudit atau Juruaudit-Juruaudit adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun, dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung. Ia/Mereka harus juga dikehendaki bila-bila masa oleh Pengerusi memeriksa kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh jawatan ia/mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.
FASAL 21 PERLANTIKAN PEGAWAI-PEGAWAI DI BAWAH SEKSYEN 9(b)
AKTA PERTUBUHAN, 1966
(1) Tiga pegawai yang terdiri daripada pemegang-pemegang jawatan dan berusia lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan bagi maksud Seksyen 9(b) Akta Pertubuhan, 1966.
(2) Mereka hendaklah memegang jawatan mereka sehingga tempoh bagi mereka memegang jawatan berakhir di Mesyuarat Agung Tahunan akan datang dan mereka layak untuk dipilih semula.
(3) Pegawai-pegawai yang dilantik dibawah undang-undang ini hendaklah mengurus harta tetap Persatuan sebagaimana yang dikehendaki oleh Mesyuarat Agung tetapi semua harta tetap Persatuan hendaklah didaftar atas nama Persatuan.
(4) Mereka tidak boleh menjual, menarik balik atau menukarkan harta kepunyaan Persatuan dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung ahli-ahli.
(5) Seorang pegawai yang diperakukan boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana sakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana lain-lain sebab yang menyebabkan ia tidak boleh menjalankan tugasnya atau pekerjaannya tidak memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seorang pegawai yang diperakukan sebelum Mesyuarat Agung Tahunan maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Mesyuarat Agung Khas, yang diadakan untuk tujuan tersebut.
FASAL 22 JAWATANKUASA KECIL
Jawatankuasa adalah berkuasa melantik Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil bagi menjalankan urusan-urusan Persatuan yang mana difikirkan perlu dan berguna, dan menarik daripada Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil semua atau mana-mana kuasa-kuasa yang diberi dan membatalkan semua perlantikan-perlantikan tertentu. Mana-mana Jawatankuasa Kecil yang dilantik hendaklah, dalam menggunakan kuasa-kuasa yang diberi patuh kepada mana-mana peraturan-peraturan yang dikenakan dari semasa ke semasa oleh jawatankuasa.
FASAL 23 PERATURAN-PERATURAN (Regulations)
Peraturan-Peraturan (regulations) boleh dibuat untuk perkara-perkara yang tertentu asalkan tidak bertentangan dengan undang-undang ini. Sesuatu peraturan yang dibuat hendaklah mendapat kelulusan dari Mesyuarat Agung sebelum ianya dikuatkuasakan.
FASAL 24 PENASIHAT-PENASIHAT/PENAUNG-PENAUNG.
Penasihat-Penasihat/Penaung-Penaung Persatuan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung atau cadangan Jawatankuasa.
FASAL 25 KEROSAKAN/PEMINDAHAN HARTA BENDA
(1) Mana-mana ahli Persatuan memecah atau merosakkan mana-mana harta Persatuan hendaklah membayar harga bagi membaiki atau mengganti harta itu, jika dipinta berbuat demikian oleh Jawatankuasa.
(2) Buku-buku, majalah-majalah, surat-surat khabar atau mana-mana harta Persatuan tidak boleh dipindah daripada Persatuan dengan tidak ada kebenaran daripada Jawatankuasa.
FASAL 26 PENYATA TAHUNAN
Setiausaha hendaklah menghantar Penyata Tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan dengan menggunakan boring yang ditentukan dalam tempoh 60 hari setelah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan atau sekiranya tiada Mesyuarat itu diadakan, sekali pada setiap tahun Kalendar.
FASAL 27 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
Di antara Mesyuarat-Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan bila mustahak dan memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.
FASAL 28 PINDAAN UNDANG-UNDANG
Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Pengubahan-pengubahan dan pindaan-pindaan kepada undang-undang hanya boleh dikuatkuasakan mulai tarikh ianya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
FASAL 29: PERUNTUKAN-PERUNTUKAN KHAS
(1) Mana-mana penuntut Universiti atau kolej tidak boleh diterima menjadi ahli kecuali telah mendapat kebenaran secara bertiulis daripada Naib Canselor Universiti berkenaan.
(2) Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak boleh mencuba, menghalang atau dengan apa-apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan Kesatuan Sekerja seperti yang diterangkan di dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959.
(3) Faedah-faedah seperti yang diterangkan di bawah seksyen 2 Akta Pertubuhan, 1966 tidaklah boleh diberi oleh Pertubuhan kapada mana-mana ahli.
(4) Mana-mana orang tidak boleh memegang jawatan dalam Pertubuhan menjadi penasihat atau pekerja Pertubuhan jika ia telah hilang kelayakan menurut Seksyen 9A Akta Pertubuhan, 1966.
FASAL 30: PEMBUBARAN
(1) Persatuan ini boleh dibubar dengan sukarela berdasarkan satu usul yang tidak kurang dari tiga perlima (3/5) dari jumlah keahlian yang layak mengundi di dalam Mesyuarat Agung ahli-ahli yang dipanggil khas untuk tujuan tersebut.
(2) Sekiranya Persatuan ini dibubar berdasarkan kehendak di atas, semua hutang dan tanggungan persatuan ini yang sah mengikut undang-undang hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung ahli-ahli.
(3) Keputusan mengenai pembubaran seperti yang tersebut di atas hendaklah dimaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan di dalam tempoh 14 hari dari tarikh pembubaran.
Tandatangan: …………………………………… Tandatangan:…………………………………….
Nama: ELI AK LUNTAI Nama: JIMALI AK SUNANG
Jawatan: Pengerusi Jawatan: Setiausaha.
No comments:
Post a Comment